Siri bercakap dengan itik

Sebagai pengaturcara, biasa akan datang satu masa kita tepu, tiada idea dan menaip seperti di awang-awangan.

Tetapi kebelakangan ini aku tepu
Hampir beku ni buku lirik kosong nak berdebu
Hilang sengat hilang seri hilang seru hilang merdu
Mata tutup kepala tertelungkup
Pintu dengar ketuk oh anak ku menjenguk
Papa jangan kerut dahi
Tukar niat baca Bismillah mesti jadi

Malique / Cuba Lagi

Seperti lirik di atas, itulah perasaan apabila semua serba tidak kena.

Cara yang paling mudah untuk saya mengatasi masalah tepu adalah berdiskusi dengan pengaturcara/orang lain. Saya biasa akan berjumpa dengan mereka, apa visi/masalah yang akan diselesaikan dan tunjukkan langkah-langkah yang sudah dibuat. Kemungkinan mereka akan bertanya soalan balas, dan kita akan jawab. Proses ini akan membuka minda dan menyebabkan kebiasaannya kita dapat fokus kepada masalah yang dihadapi.

Konsep ini tidak semestinya berada disatu tempat, bersebelahan atau duduk. Telefon, berjogging adalah beberapa kondisi yang boleh dijalankan sambil bercakap. Manusia dilahirkan untuk berinteraksi dan apabila interaksi kebiasaanya akan membuka minda yang biasanya tepu.

Steve Jobs banyak menggunakan konsep berjalan sambil berdiskusi. Beliau akan berjalan dengan rakan sekerja atau staff dan akan berkongsi masalah dan cuba mencari solusi. Boleh rujuk artikel di sini . Ibu pejabat baharu Apple juga mempunya laluan besar untuk pekerja mereka boleh bercakap dan berjalan sambil berdiskusi.

Jika tiada orang yang anda rasa boleh berkongsi masalah, cuba gunakan konsep Rubber Duck Debugging. Konsep ini adalah meletakkan itik getah di sebelah meja, dan cuba bercakap masalah yang anda buntu. Dengan meluahkan perasaan, pengaturcara akan dapat masalah dari sudut yang berbeza. Objek percakapan ini tidak semestinya itik, mungkin anda boleh guna kucing , pokok bunga dan apa yang anda rasa sesuai.

Jadi, sudahkah anda bercakap dengan itik anda ?